SERAMAI 5,000 orang menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan oleh Persatuan Halaqah Al-Quran dan Tahsin Tilawah Bestari Kali Ke-50 dan Festival Al-Quran di Masjid Sultan Abdul Samad,KLIA, Sepang hari ini.
Pengerusi Persatuan itu yang juga Ketua Eksekutif Pusat Pengajian Tahsin Tilawah Bestari, Nawiya Abu berkata, program yang telah menjangkau usia 50 kali merupakan satu legasi yang bermakna.
‘’Ia bukan sekadar sebuah majlis peringatan tetapi sebuah perjalanan panjang yang dipenuhi usaha gigih para guru, qari dan qariah, semua ahli persatuan serta masyarakat yang sentiasa mendukung perjuangan ini,’’ katanya dalam ucapan alu-aluan untuk majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Kanan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor, Sharom Marof itu.

Nawiya berkata, program pada tahun ini melakar sejarah tersendiri apabila mencapai penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Kali Ke-50.
‘’Pencapaian ini bukan sahaja menjadi mercu tanda kejayan tetapi juga menjadi saksi kepada keberkatan usaha, istiqamah para guru, sokongan para ahli serta komitmen berterusan seluruh jemaah yang sentiasa bersama dalam perjuangan memartabatkan al-Quran.
Sempena majlis itu juga, Malam Cinta Nabi akan diadakan malam ini di lokasi yang sama dengan penampilan khas Sheikh Al-Sayyed Ashraf Hamid Hassanayn Al-Azhari dan Dr.Mohamed Sayed Soltan.
Majlis khatam itu telah bermula sejak 2009 dengan matlamat menyuburkan budaya membaca, memahami serta menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Bermula dengan penyertaan kecil dan sederhana , majlis tersebut berkembang daripada sebuah himpunan ilmiah yang bersifat local kepada sebuah program berimpak besar yang sentiasa dinanti-natikan setiap tahun.
Sepanjang lebih sedekad penganjurannya majlis khatam berkenaan menjadi platform penyatuan para guru, pelajar, ahli kariah serta masyarakat umum. Melaluinya lahir suasana kecintaan kepada al-Quran yang semakin mekar, membentuk komuniti yang saling menguatkan antara satu sama lain.


