Nahas kenderaan terjatuh gaung: JKR buat laporan polis susulan ceroboh jalan ditutup

JABATAN Kerja Raya (JKR) telah membuat laporan polis bagi memastikan insiden ceroboh jalan ditutup tidak berulang susulan kemalangan maut yang meragut dua nyawa di Hulu Terengganu, semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa tindakan segera yang lain turut diambil JKR bagi kawasan jalan runtuh dari Kilometer (km) 52 Jalan Kuala Jeneris sehingga Aring (Bukit Kawah).

“Antaranya adalah pemasangan papan tanda amaran dan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan dan pendaftaran maklumat bencana jalan runtuh di portal rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pasangan bakal berkahwin terhumban ke dalam gaung sehingga mengakibatkan kedua-duanya maut di tempat kejadian.

Mangsa seorang guru dikenal pasti sebagai Hassan Shazali, 52, manakala wanita yang maut, Suzaimah Che Azis, 34.

Nanta berkata, insiden itu amat dikesali kerana setiap agensi terbabit sudah melaksanakan langkah pencegahan, termasuk menutup jalan dan meletakkan pelbagai tanda amaran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu memberi peringatan serius mengenai kepatuhan pengguna jalan raya terhadap arahan keselamatan, khususnya di kawasan bencana.

“Kementerian memandang serius isu keselamatan pengguna jalan raya dan mengingatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi arahan serta tanda penutupan di lokasi berisiko,” katanya.

Beliau berkata penutupan laluan itu telah diwartakan di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30.

Katanya, JKR sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan jambatan baharu di Laluan FT036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8–Tasik Kenyir–Kuala Jeneris, Hulu Terengganu, yang diluluskan pada 25 Mac lalu dengan kos RM36 juta.

“Status terkini adalah di peringkat perolehan dengan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan bulan ini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img