Pas sambut baik keputusan AirAsia, wajar jadi penanda aras industri penerbangan negara

PAS menyambut baik keputusan AirAsia membenarkan kru kabinnya mengenakan pakaian menutup aurat dan melihat ia sebagai langkah progresif yang wajar dijadikan penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.

Langkah tersebut, bagi parti itu, bukan sahaja menepati tuntutan beragama tetapi selari dengan realiti demografi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut melambangkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, selain menyokong budaya kerja yang lebih inklusif.

“Saya mengucapkan tahniah dan menyambut baik pengumuman AirAsia.

“Keputusan ini bukan sahaja selaras tuntutan beragama dan juga keberkatan mencari nafkah diri, ia juga selari dengan realiti demografi negara di mana lebih 60 peratus warga Malaysia beragama Islam,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.

AirAsia semalam mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Ia selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.

Menurut Tuan Ibrahim, dasar berorientasikan nilai agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat dalam ekonomi moden.

“Banyak syarikat global telah bergerak ke arah faith-friendly workplace dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan tersebut,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan industri penerbangan Malaysia seharusnya memperkenalkan standard yang mencerminkan identiti nasional, bukan hanya dari sudut perkhidmatan.

“Langkah ini wajar menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara. Industri penerbangan Malaysia seharusnya mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional yang mementingkan nilai agama dan budaya,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menyentuh keperluan menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik kerana faktor keselamatan dan norma sosial.

“Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial yang lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri,” katanya.

Beliau menyifatkan keputusan AirAsia sebagai manifestasi keberanian pengurusan korporat yang memahami nilai masyarakat serta tuntutan semasa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img