BEBERAPA penduduk Palestin terbunuh hari ini selepas tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, sekali lagi melanggar perjanjian gencatan senjata yang memasuki fasa pertama pada 10 Oktober lalu.
Kakitangan perubatan di Hospital Al-Shifa mengesahkan sekurang-kurangnya tiga penduduk Palestin ditembak mati oleh tentera Israel di luar kawasan yang digelar “garis kuning” di Beit Lahia, utara Gaza.
Saksi turut melaporkan letupan kuat di sekitar Gaza City apabila tentera Israel meletupkan beberapa bangunan kediaman di timur kejiranan Al-Tuffah, di Beit Lahia, serta di kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza. Kenderaan tentera yang ditempatkan di timur Gaza City juga melepaskan tembakan suar sebelum meriam artileri menghentam kawasan berdekatan.
Di selatan wilayah itu, jet pejuang Israel melancarkan siri serangan udara di timur Rafah dan Khan Yunis. Unit artileri turut mengebom kawasan timur Khan Yunis dan Gaza City, manakala kenderaan tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan mesin-gun ke arah beberapa kejiranan di timur laut Khan Yunis.
Di kawasan tengah Gaza, saksi mengesahkan sekurang-kurangnya satu serangan udara mengenai kawasan timur kem pelarian Maghazi, namun tiada angka korban disahkan setakat ini.
Media Israel dalam masa sama melaporkan bahawa letupan yang kedengaran di Israel tengah berpunca daripada operasi ketenteraan mereka sendiri di dalam Gaza.
Di timur Gaza City, di kejiranan Sheja’iyya, koresponden Al Jazeera memaklumkan bahawa tentera Israel meletupkan bangunan di dalam kawasan “garis kuning”. Dua penduduk Palestin pula cedera akibat tembakan dron di kawasan Al-Faluja, kem pelarian Jabaliya.
Saksi turut melaporkan Sheja’iyya dibedil pada malam Jumaat disertai aktiviti dron yang berterusan.
Ketika jangkaan meningkat bahawa perjanjian gencatan senjata bakal memasuki fasa kedua, lapan negara Arab dan Islam menggesa pelaksanaannya dilakukan serta-merta berdasarkan pelan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Negara terbabit — Qatar, Arab Saudi, Jordan, Mesir, UAE, Turkiye, Indonesia dan Pakistan — menuntut Rafah dibuka dua hala serta menolak sebarang cadangan membuka lintasan itu hanya untuk mengeluarkan rakyat Palestin ke Mesir.
Menteri-menteri luar negara berkenaan menekankan pentingnya kebebasan bergerak, kelancaran penghantaran bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan gencatan senjata sepenuhnya.


