BUKAN setakat ditahan atas kesalahan merempit, seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun turut ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu Op Samseng Jalanan yang diadakan di Station 18 dekat Pasir Putih, Ipoh bermula tengah malam tadi.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari ini itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam operasi itu, sejumlah 335 individu berusia antara 15 hingga 42 tahun diperiksa, termasuk pelajar sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Hasil pemeriksaan ke atas 197 kenderaan pula, 30 motosikal telah disita kerana pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Seorang lelaki tempatan turut ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 158 saman trafik, 82 saman dan notis JPJ, serta 11 kompaun dan notis JAS dikeluarkan.
Menurutnya, dalam tindakan bersama AADK, seramai 11 individu dikesan positif dadah, termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
“Semua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” katanya.
Noor Hisam berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di negeri ini.
“Ini merupakan satu usaha PDRM dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan khususnya di Perak,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.


