Harimau baham ternakan cetuskan kembimbangan penduduk Bukit Bangkong

PENDUDUK di Bukit Bangkong, Chemor di Ipoh meluahkan kebimbangan dengan kejadian serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua ekor lembu ternakan mati dan lima ekor lagi hilang pada Jumaat lepas.

Pengerusi Persatuan Pengindahan Alam Sekitar Bukit Bangkong, Lee Jun Man, 33, yang tinggal di kawasan itu berkata, sepanjang hampir 30 tahun, penduduk tidak pernah menerima sebarang laporan atau kejadian orang ramai terlihat kelibat harimau.

“Kami amat terkejut dan takut apabila polis memaklumkan serangan terhadap ternakan di ladang berhampiran kerana belum pernah kejadian seumpama itu berlaku sebelum ini.

“Beberapa hari sebelum kejadian, ada penduduk yang mendakwa terdengar bunyi seperti ngauman haiwan liar, tetapi siasatan awal menunjukkan tiada bukti kukuh yang mengaitkan bunyi itu dengan harimau,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Bernama.

Bagaimanapun, Jun Man menasihatkan penduduk supaya mengelakkan sebarang aktiviti di kawasan semak atau ladang secara bersendirian, terutamanya pada waktu senja atau malam, dan melaporkan sebarang petunjuk kehadiran hidupan liar kepada pihak berkuasa dengan segera.

Sementara itu, penternak lembu terbabit, Abdul Rahman Sahul Hamid, 41, berkata, dia menyedari tujuh ekor lembu peliharaannya hilang ketika tiba di kandang untuk melakukan rutin pemeriksaan pada petang Jumaat, selain ternakan lain dilihat seolah-olah ketakutan dan menjauhkan diri daripadanya.

“Selepas mencari di sekeliling ladang, saya terkejut apabila mendapati seekor lembu mati di belakang ladang dengan kesan cakaran pada badan dan kecederaan pada tengkuk. Kemudian, saya terjumpa seekor lagi lembu telah mati pada jarak 200 meter dari kandang, lalu saya membuat laporan di Balai Polis Tanah Hitam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kejadian itu merupakan yang pertama melibatkan serangan harimau sejak mengusahakan penternakan lembu kira-kira lapan tahun lepas dan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan sepatutnya.

Anggota polis dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini turut mengadakan tinjauan dan menemukan kesan tapak kaki harimau yang baharu di sekitar kawasan itu.

Perhilitan juga melakukan pemeriksaan terhadap kamera perangkap yang dipasang selain meneliti kedudukan lembu mati yang ditinggalkan untuk mengesan sekiranya berlaku pergerakan akibat diseret haiwan liar berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan insiden itu, selain pemantauan akan diteruskan dan maklumat disalurkan kepada agensi berkaitan demi memastikan kawalan risiko, keselamatan penduduk serta usaha pemuliharaan hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img