Musim Konvo: Gembira bercampur resah

DI penghujung tahun negara dimeriahkan dengan puluhan majlis konvokesyen oleh institusi pendidikan tinggi. Tahniah kepada para graduan, selangkah ke hadapan dalam membina kehidupan yang cemerlang. Menitis air mata ibu bapa gembira menyaksikan kejayaan si anak berarak menaiki pentas menerima ijazah masing-masing.

Ke mana mereka selepas turun dari pentas agung ini?

Kita berhadapan dengan masalah besar, ketidaksepadanan penghasilan tenaga kerja berkelulusan tertiari dan permintaan tenaga kerja mahir.

Ekonomi kita tidak mencipta cukup pekerjaan bagi menyerap graduan yang baru dihasilkan setiap tahun. Penciptaan pekerjaan mahir umumnya membayangkan permintaan tenaga kerja berkelulusan tertiari.

Jumlah penciptaan pekerjaan mahir berada dalam trend menurun daripada 45,000 (2018) ke 34,000 (2024)! Hanya 27% daripada jumlah penciptaan pekerjaan baharu 2024 ialah pekerjaan berkemahiran tinggi!

Trend ini bertentangan dengan misi pembangunan ekonomi negara untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mensasarkan peningkatan kecanggihan industri disokong oleh modal insan berkemahiran tinggi. Mungkinkah matlamat pembangunan ekonomi kita terjejas?

Dengan penghasilan graduan sekitar 300,000 setahun, ke mana agaknya mereka ini selepas bergraduasi? Kini sekitar dua juta pekerja Malaysia berkelulusan tertiari berstatus ‘underemployed by skill’, bekerja dengan kadar upah rendah tidak sepadan dengan kelulusan pendidikan mereka. Mengecewakan. Kadar pengangguran yang kini rendah sekitar 3% tidak menceritakan semuanya. Kewujudan dan kualiti pekerjaan perlu diperhalusi.

Dalam masa yang sama kita juga berhadapan dengan kadar upah yang rendah. Hampir separuh daripada pekerja sektor formal menerima kadar upah kurang daripada RM3,000 sebulan dan 22.5% menerima upah RM1,500 ke RM1,999. Di sinilah puncanya kesengsaraan memenuhi keperluan kehidupan. Dengan kadar upah yang rendah, kos sara hidup melonjak. Malaysia sudah 68 tahun merdeka. Cabaran ekonomi berubah daripada kemiskinan kepada kualiti kehidupan.

Kedua-dua pihak, semua institusi (awam dan swasta) yang menghasilkan graduan dan semua institusi (awam dan swasta) yang menghasilkan pekerjaan mesti bertindak bersama, segera.

Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita bangga dengan kejayaan menurunkan kemiskinan tegar mendekati sifar dan kadar pengangguran yang rendah. Tiba masa untuk kita membuat penyasaran pembangunan ekonomi yang baharu, bertepatan dengan cabaran semasa.

Moga kegembiraan graduan dan ibu bapa di majlis konvokesyen berterusan, tidak lagi bercampur resah.

MINDA UKM: Bersama Membangunkan Negara

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img