POLIS sedang menyiasat dakwaan dua pelajar orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa menjadi mangsa perlakuan amang seksual di sebuah asrama di Marang, Terengganu.
Siasatan tersebut dibuat berikutan dua laporan polis yang diterima semalam berhubung kejadian yang didakwa berlaku di asrama yang sama.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Sofian Redzuan berkata, kedua-dua kes melibatkan mangsa dan suspek yang berbeza serta berlaku pada tarikh yang berlainan.
“Mengikut laporan polis pertama, mangsa berusia 17 tahun yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan pembelajaran, mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun.
“Kejadian ini dipercayai berlaku kira-kira jam 2 petang pada 17 November lalu, di mana suspek dikatakan telah menyentuh kemaluan mangsa dan cuba meliwat mangsa.
“Mangsa pada awalnya mengadu kepada warden asrama dan warden tersebut kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, laporan polis kedua pula melibatkan mangsa berusia 13 tahun yang merupakan OKU Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh pelajar berusia 16 tahun.
Katanya, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6 petang pada 20 November lalu, di mana suspek dilaporkan memaksa mangsa melancap kemaluannya serta turut cuba meliwat mangsa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis akan memanggil suspek-suspek terlibat untuk diambil keterangan,” ujarnya.
Pada masa sama, Sofian berkata, kejadian tersebut dilihat sebagai kes serius yang melibatkan moral dan perlakuan jenayah.
“Ibu bapa dan penjaga diingatkan agar memberikan lebih perhatian serta sentiasa memantau pergaulan anak masing-masing bagi mengekang kejadian seumpama ini,” katanya.


