SEORANG pembantu kedai makan kerugian RM77,889 selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan sambilan di dalam talian yang disertainya.
Mangsa lelaki berusia 34 tahun sebelum itu ditawarkan pekerjaan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada 4 Oktober lalu oleh seorang individu yang dikenalinya dalam laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek menawarkan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap jualan pakaian dan aksesori wanita sekiranya menyertai kerja sambilan itu.
Beliau berkata, mangsa yang terdesak untuk mencari pendapatan sambilan bersetuju sebelum diarah mendaftar di sebuah aplikasi sebagai penjual.
“Mangsa telah menerima beberapa pesanan dari pelanggan di aplikasi berkenaan, namun dia diminta membuat bayaran yuran proses terlebih dahulu dan wang berkenaan akan dikembalikan semula berserta pulangan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM77,889 ke enam akaun berbeza secara berperingkat bermula 16 Oktober hingga 26 November lalu menggunakan wang simpanannya selain meminjam daripada kenalan serta saudara-mara.
Beliau berkata, lelaki itu menyedari dia ditipu setelah tidak menerima pulangan keuntungan yang dijanjikan dan mangsa membuat laporan pada 4.10 petang semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


