PPZ-MAIWP lancar penjenamaan semula Wakaf Wilayah Persekutuan

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan penjenamaan semula identiti Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan sebagai langkah memperkukuh agenda wakaf di wilayah ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penjenamaan semula ini merupakan satu langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan wakaf sebagai platform utama dalam membangunkan komuniti, meningkatkan ekonomi umat Islam, serta melahirkan lebih banyak inisiatif yang bermanfaat melalui pengembangan dana wakaf.

“Ia merangkumi penggunaan nama baharu, logo dengan identiti warna yang diperbaharui, penukaran portal rasmi serta penyeragaman jenama di semua platform media sosial selain pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi.

“Ini juga secara tidak langsung penting dalam membantu memperkukuh naratif bahawa PPZ-MAIWP bukan sekadar bertanggungjawab untuk mengutip zakat, tetapi turut diamanahkan untuk menguruskan kutipan wakaf tunai di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Penjenamaan Semula Wakaf Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Wakaf Tunai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Mohd Na’im berkata, penjenamaan semula identiti wakaf ini adalah langkah strategik bagi memastikan pengurusan wakaf lebih mudah dikenal pasti, memiliki fungsi yang jelas serta dapat diakses semua lapisan masyarakat.

“Saya berharap jenama Wakaf Wilayah Persekutuan ini mampu menjadi titik-tolak dalam mengangkat lebih tinggi tradisi wakaf sebagai institusi sosial yang kukuh serta membina keyakinan masyarakat bahawa setiap sen yang mereka wakafkan akan diurus dengan amanah, berintegriti dan baik,” katanya.

Beliau berkata, penjenamaan baharu ini turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2025, sebagai pengiktirafan terhadap usaha memodenkan pengurusan wakaf tunai di Malaysia.

DATUK Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika berucap merasmikan Pelancaran Penjenamaan Semula Wakaf Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Wakaf Tunai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. GAMBAR: ALANI NIZAM

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 11 projek telah mencapai sasaran kutipan wakaf dan sebahagiannya telah siap dibangunkan.

Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM657,508.31 daripada 12 syarikat.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP turut merekodkan kutipan wakaf tunai berjumlah RM7.9 juta bagi Januari hingga November 2025 melibatkan 11,121 pewakaf.

Katanya, orang ramai boleh menyumbang melalui kaunter PPZ-MAIWP atau saluran digital termasuk pembayaran atas talian, imbasan kod QR serta kaedah lain yang disediakan.

Maklumat lanjut mengenai projek dan inisiatif wakaf boleh diperoleh melalui laman rasmi www.wakafwilayah.com.my atau media sosial @wakafwilayah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img