Fenomena ‘mahkamah siber’  semakin ketara, jatuhkan hukuman tanpa fakta – Ketua Hakim Negara

PERKEMBANGAN pesat media sosial dan kebebasan bersuara dalam era digital mencabar peranan institusi kehakiman apabila wujud kecenderungan masyarakat ‘menghakimi’ kes dalam ruang siber sebelum keputusan mahkamah dibuat.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, fenomena ‘mahkamah siber’ atau trial by social media semakin ketara apabila warganet membuat andaian, melabel dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, hakim serta pihak terlibat tanpa mengetahui fakta sebenar sesuatu kes.

Beliau berkata, tindakan masyarakat menghukum seseorang sebelum perbicaraan bermula atau sebelum saksi pertama memberikan keterangan adalah berbahaya dan boleh menjejaskan keadilan.

“Seharusnya kita membiarkan proses kehakiman berjalan secara teratur. Biarlah pihak pendakwaan mengemukakan keterangan, peguam bela mencabarnya dan hakim membuat keputusan berdasarkan undang-undang serta fakta.

“Kecenderungan menjatuhkan hukuman dengan mendahului mahkamah boleh menyebabkan mereka dikenakan perintah menghina mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara bertajuk “Hakim Sebagai Pembina Negara: Menggabungkan Bakat, Ilmu dan Nilai dalam Memartabatkan Keadilan” di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Program Syarahan Perdana Kehakiman 2025 anjuran Fakulti Undang-Undang UiTM dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang disertai 444 pelajar tahun akhir Fakulti Undang-Undang UiTM itu turut dihadiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dan Datuk Azimah Omar serta Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Wan Ahmad Farid berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah mempunyai saluran sah untuk membuat rayuan, bukannya melontarkan komen keterlaluan menerusi media sosial.

Beliau turut menasihati masyarakat agar mengelakkan komen berbentuk penghinaan terhadap hakim dan mana-mana pihak kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.

“Jika mahu memahami dan mengkritik secara bertanggungjawab, pelajari undang-undang dan fahami prosesnya. Jangan terburu-buru menjatuhkan hukuman di alam maya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img