SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan memberikan keterangan dalam tempoh terdekat berhubung siasatan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau MEX II.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Adam Radlan telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihaknya.
“Sebelum ini, Adam Radlan berada di luar negara. Kini kita perlukan bantuannya dan SPRM telah berhubung dengan beliau dalam tempoh terdekat baru-baru ini.
“Beliau juga telah memberi maklum balas kepada SPRM dan peguamnya, Tan Sri Shafee Abdullah turut menghantar surat kepada kami bagi memberikan jaminan berkaitan perkara itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam hari ini, lapor Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Adam Radlan membantu siasatan berkaitan projek MEX II yang menghubungkan Persimpangan Putrajaya ke KLIA.
Untuk rekod, Adam Radlan sebelum ini turut disiasat berkaitan projek Jana Wibawa. Bagaimanapun, beliau telah dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun berjumlah RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan.


