Zara Qairina : Inkues tentukan punca kematian bermula esok

INKUES bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir akan bermula esok di Mahkamah Koroner.

Inkues 19 hari yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept serta 22 hingga 30 Sept akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.

Sebanyak 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues.

Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pendakwa iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus, lapor Bernama.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengetepikan perintah Koroner Azreena Aziz yang membenarkan peguam mewakili remaja yang didakwa berkaitan kes buli pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, untuk mengambil bahagian dalam prosiding inkues kematian pelajar itu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan semakan yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan pasukan peguam keluarga Zara Qairina.

Mahkamah memerintahkan semua arahan yang timbul daripada sebarang permohonan dalam inkues itu diketepikan, bagaimanapun peguam berkenaan bebas mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan Koroner baharu – Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan yang menggantikan Azreena.

SLS memfailkan semakan selepas Azreena membenarkan peguam bagi pihak remaja yang dituduh sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan, bagaimanapun beliau menarik diri daripada mengendalikan prosiding itu.

Hakim itu berkata adalah tidak wajar Azreena membuat keputusan mengenai isu substantif yang sepatutnya diserahkan kepada Koroner baharu untuk pertimbangan, terutamanya selepas beliau memutuskan untuk menarik diri daripada kes terbabit.

“Dengan berbuat demikian seolah-olah membuat keputusan bagi pihak Koroner yang akan mengambil alih prosiding itu sekali gus menjejaskan prinsip kesaksamaan,” katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah bersama dengan Mohd Fairuz Johari dan Dacia Jane Romanus.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas.

Remaja tersebut sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh polis.

Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazahnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img