PN desak kerajaan dedahkan adakah terma ditolak Indonesia ada dalam perjanjian Malaysia-AS

PERIKATAN  Nasional (PN) menuntut kerajaan menilai kembali dan mempertimbangkan rundingan semula terma dan syarat Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata gesaan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa perjanjian AS dan Indonesia pada Julai lalu kini berdepan risiko terbatal.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Dari awal lagi saya telah menyatakan kebimbangan terhadap beberapa terma terutamanya melibatkan artikel 3.3 dan 5.1 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya berkaitan implikasi terhadap aspek kedaulatan dan kesan jangka kepada negara.

Kebimbangan ini saya telah suarakan secara tegas melalui siri kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan menerusi sesi perbahasan di Parlimen. Teguran serupa juga dilaungkan ramai Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain. Ertinya Perikatan Nasional dari awal melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian ini.

Apabila Reuters melaporkan bahawa Indonesia menolak persetujuan awal beberapa terma perjanjian dengan Amerika kerana dianggap terlalu mengikat dan berpotensi menjejaskan kepentingan serta kedaulatan Indonesia , kebimbangan kami berasas.

Namun, ketika Indonesia mengambil pendirian menilai kembali beberapa terma perjanjian, Kerajaan Madani dalam kenyataan pada Rabu lalu, sebaliknya menolak desakan agar rundingan semula dilakukan dengan Amerika, walaupun jelas beberapa terma perjanjian bukan sahaja mengikat Malaysia tetapi meletakkan kedaulatan negara menjadi persoalan.

Sebagai negara jiran dan rakan strategik, pendirian Indonesia wajar menjadi indikator penting bagi menilai bagaimana negara-negara ASEAN melihat impak sebenar perjanjian ini.  Malaysia tidak boleh hanya menerima pujian daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent, sebagai ”good actor’’ tanpa memahami kos dan implikasi sebenar di sebaliknya.

Sehubungan itu, Perikatan Nasional mendesak kerajaan agar segera mengenal pasti terma-terma yang dianggap Indonesia sebagai bermasalah, mengikat, atau berat sebelah, – dan dedahkan kepada rakyat apakah terma-terma yang ditolak Indonesia itu turut terkandung dalam Perjanjian ART yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika.

Pada masa yang sama, Perikatan Nasional menuntut kerajaan menilai kembali, mengkaji implikasi, dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya terma- terma tersebut boleh menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi, ataupun kepentingan industri negara pada jangka masa panjang.

Kerajaan Kerajaan perlu menjelaskan secara telus kepada rakyat – apakah harga yang perlu dibayar untuk menjadi “good actor” di mata Washington seperti dilaporkan Reuters? Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img