POLIS Melaka hari ini menjelaskan sebuah ambulans yang tular dalam video ditahan bersama kenderaan lain oleh polis trafik untuk memberi laluan kepada konvoi kenderaan VIP, tidak berada dalam situasi kecemasan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, situasi itu disedari anggota polis trafik yang bertugas apabila melihat ambulans tersebut hanya menghidupkan lampu amaran merah dan biru tanpa membunyikan siren dan lampu kecemasan.
Malah beliau menjelaskan, selepas konvoi itu melepasi kawasan tersebut, ambulans berkenaan masih tidak bergerak, tetap tanpa siren, berbeza daripada apa yang digambarkan dalam video tular.
“Ambulans itu beratur di lorong kanan seperti kenderaan lain, dan anggota trafik membuat penilaian ia tidak berada dalam situasi kecemasan.
“Jika ia berada dalam keadaan kecemasan, ambulans akan menggunakan lorong kiri dan membunyikan siren untuk meminta laluan daripada kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.
Penularan video insiden itu mencetuskan kritikan orang ramai apabila netizen mempersoalkan kelihatan seolah-olah ambulans dihentikan untuk beri laluan kepada konvoi VIP.
Menurut Dzulkhairi, konvoi tersebut melibatkan 18 bas yang membawa delegasi promosi pelancongan dari China yang diiringi sepasukan unit trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira jam 10.30 pagi semalam bermula dari Tol Ayer Keroh.
Katanya, sebaik sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taming Sari, anggota trafik menghentikan kenderaan dari arah pusat bandar termasuk ambulans tersebut dan melencongkan trafik dari arah Ayer Keroh menggunakan siren polis.
Ketika itulah ambulans Bulan Sabit Merah terbabit tidak dapat meneruskan perjalanan kerana semua kenderaan dihentikan bagi memberi laluan kepada konvoi itu, jelas beliau.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem yang dipetik China Press sebagai berkata beliau akan menulis surat kepada Dzulkhairi berhubung perkara itu.
Menurut beliau, ambulans perlu sentiasa diberi keutamaan, tanpa mengira kepentingan kenderaan lain.


