SEORANG lelaki cedera dipercayai ditembak individu tidak dikenali semasa mencari petai di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling di Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 47 tahun berseorangan mencari petai di hutan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, mangsa dikatakan terkena tembakan peluru penabur di bahagian rusuk sebelah kanan dan belakang badan.
“Meskipun ditembak, lelaki itu sempat menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhamad Mustafah, mangsa yang bekerja sendiri dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan termasuk bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.
Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Helmi Hussin di talian 018-985 1207 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menerusi talian 06-484 2999 bagi membantu siasatan.


