SIASATAN polis berhubung kemalangan melibatkan sebuah trak tentera dengan Proton Saga pada Khamis lalu di Kampung Bukit Belah, Machang yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh membongkar mengenai keadaan pemandu kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, polis tidak menolak dakwaan pemandu kereta berkenaan berada di bawah pengaruh dadah semasa hari kejadian
Beliau berkata, dakwaan tersebut dikukuhkan apabila pihak polis menemui 41 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis kuda di dalam kenderaannya.
“Sebelum kejadian, ada saksi melihat kereta itu dipandu dalam keadaan terhuyung hayang masuk kanan kiri jalan.
“Ujian air kencing tidak dapat dilakukan kerana pemandu berusia 34 tahun itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia,” katanya lapor Sinar Harian.
Ahmad Shafiki berkata, walaupun tangkapan dibuat tetapi diberi jaminan polis memandangkan pemandu tersebut berada dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata, pemandu yang merupakan seorang penganggur adalah bekas banduan dan baru keluar penjara pada 4 Disember lalu.
Ahmad Shafiki memberitahu, lelaki yang berasal dari RKT Sungai Asap di Gua Musang itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan kes narkotik, serta dua kes jenayah termasuk liwat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987. Kami dimaklumkan lelaki itu mengalami kecederaan kritikal terutamanya pada bahagian kepala, badan dan patah kedua-dua belah kaki,” katanya.


