SINDIKET penipuan melalui talian ternyata menggunakan pelbagai taktik untuk memperdayakan orang ramai.
Jika sebelum ini mereka menyamar sebagai polis, dalam kes terbaru di Kluang, nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pula digunakan.
Akibatnya seorang bekas pengurus sebuah syarikat kerugian di Johor RM241,000 selepas dihubungi individu menyamar ‘pegawai’ NSRC dan memperdaya mangsa kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 47 tahun menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada 6 Noember lalu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai NSRC sebelum memaklumkan nombor telefon miliknya disalahgunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya, ‘pegawai’ NSRC itu kemudiannya menyambung panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Ibupejabat Polis Terengganu.
“Mangsa turut diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya dan diarahkan memindahkan semua wang miliknya ke akaun yang diberikan.
“Antara 18 hingga 27 Nov, mangsa membuat pemindahan wang ke tujuh akaun berbeza sebelum menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


