KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr.Akmal Saleh hari ini membidas pihak yang lantang mengkritik Himpunan RXZ Members Ride 3.0, di Ayer Keroh Melaka,pada Jumaat dan semalam namun berdiam diri terhadap masalah yang lebih serius melibatkan pemandu mabuk di jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, setiap pihak seharusnya bersikap adil dalam menilai sesuatu isu dan menghormati hak orang lain sebagaimana mereka menuntut hak sendiri.
Berikut coretan penuh di Facebook beliau:
Macam mana kita nak orang hormat hak kita,macam itu juga kita patut hormat hak orang lain. Ada yang puji dan juga ada yang kecam penganjuran Himpunan RXZ semalam.
Yang kecam sebab ada segelintir peserta yang tidak mematuhi peraturan jalan raya,dengan langgar lampu isyarat dan ada yang menunggang dengan bertentangan arah . Itu saya setuju dan patut ditegur dan dikecam kerana itu melibatkan keselamatan nyawa penunggang dan orang lain
Tetapi untuk buat kesimpulan bahawa penganjuran RXZ ini seolah-olah teruk secara total itu saya tidak bersetuju,cuba tanya dalam berpuluh ribu yang datang berapa orang yang menyalahi undang-undang jalan raya? Saya percaya lebih ramai lagi yang menunggang dengan baik dan berhemah
Berapa banyak hotel yang mendapat tempahan?berapa banyak peniaga kecil yang mendapat keuntungan? Dan apa yang lebih penting adalah bagaimana kita meraikan jiwa dan minat kawan-kawan tentang permotoran ini
Dalam setahun ada 365 hari,dua hari ini sahaja kita bagi kawan-kawan yang minat dunia permotoran ini untuk mereka berkumpul dan kita meraikan mereka .
Sama juga jika musim perayaan,baik hari raya puasa, Deepavali mahupun Tahun Baru Cina,kita semua faham sahaja apabila bunyi mercun yang kuat pada malam raya,dan kita boleh terima dan hormat kenapa mercun dibakar pada malam tersebut,melainkan jika ia mendatangkan bahaya kepada orang lain maka tindakan perlu diambil.
Jadi nak kecam untuk tindakan segelintir yang tidak patuh jalan raya,saya sangat bersetuju,tetapi apabila menghukum keseluruhan mereka yang hadir seakan akan mereka ini semua melakukan kesalahan yang besar,maka itu tidak betul dan saya sangat tidak bersetuju
Dan pesanan saya kepada parti politik yang konon-konon terpaling juara untuk mengkritik RXZ member ini,bab pemandu mabuk,kamu senyap membisu pula,bab orang lain kamu bukan main lagi nak kutuk sana sini!


