SEMUA penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) mulai 1 Januari 2026 melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan berkata, langkah itu untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
‘’Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
‘’ Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,’’ kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut memaklumkan, Pelaksanaan Peruntukan Deeming berkenaan dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
‘’Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat,’’ katanya.
MCMC turut memaklumkan penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa. Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
‘’MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia, ‘’ kata kenyataan berkenaan.


