RAKAMAN yang tular di media sosial menunjukkan tentera Israel meraikan Hanukkah di atas runtuhan Hospital Indonesia di utara Gaza, selepas kemudahan perubatan itu dimusnahkan semasa apa yang digambarkan sebagai genosid.
Video tersebut muncul ketika situasi kesihatan di Gaza semakin merosot, walaupun terdapat gencatan senjata, selepas dua tahun serangan Israel yang dahsyat.
Dr. Munir Al-Bursh, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, mengecam perayaan itu.
“Apakah jenis cahaya yang lahir daripada pembakaran hospital? Dan apakah kegelapan yang lebih dalam daripada minda yang meraikan pemusnahan tempat yang sepatutnya menyelamatkan nyawa?”
Beliau menambah, ‘’Ini bukan ritual keagamaan, ini adalah ritual kebencian. Bukan perayaan cahaya, tetapi upacara api.”
“Sebuah hospital — simbol sejagat belas ihsan dan penyembuhan — dibakar, kemudian dipersembahkan kepada dunia sebagai ‘cahaya’.”
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, wilayah Gabenorat Gaza Utara mempunyai tiga hospital awam — Hospital Kamal Adwan, Beit Hanoon dan Hospital Indonesia — dan kesemuanya telah dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat serangan Israel.
Sistem kesihatan di Semenanjung Gaza telah berada di ambang kehancuran susulan serangan berulang oleh tentera Israel. Ketiga-tiga hospital tersebut mengalami kerosakan akibat serangan berterusan sejak Oktober 2023.
Kumpulan hak asasi manusia dan pakar yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan bahawa Israel telah memusnahkan sistem kesihatan Gaza secara sistematik.
Beberapa kemudahan perubatan di seluruh Gaza telah dibom, dibakar dan dikepung oleh tentera Israel sejak bermulanya perang, termasuk Hospital Kamal Adwan, Hospital al-Shifa, Hospital al-Ahli dan Hospital al-Awda. Puluhan klinik perubatan lain, pusat kesihatan serta kenderaan perubatan turut menjadi sasaran serangan Israel.
Serangan terhadap kemudahan kesihatan, kakitangan perubatan dan pesakit dianggap sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva 1949.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 18 daripada 36 hospital dan 43 peratus pusat penjagaan kesihatan primer di Gaza hanya berfungsi sebahagian.
Israel juga terus mengharamkan dan menyekat kemasukan bekalan perubatan yang amat diperlukan, bahan api dan bantuan kemanusiaan lain walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober.


