Putera Alwaleed beli kelab Al Hilal dengan nilai urus niaga RM8.81 bilion

PUTERA  Alwaleed bin Talal dilaporkan hampir memuktamadkan pembelian kelab bola sepak Al Hilal, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat sebelum akhir Disember.

Rundingan telah berlangsung hampir setahun antara Putera Alwaleed dan Dana Pelaburan Awam (PIF), yang kini memiliki 75% pegangan dalam Al Hilal.

Baki 25% lagi dimiliki oleh sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang sudah menerima pembiayaan besar daripada Putera Alwaleed. Nilai urus niaga ini dianggarkan sekitar SAR 7.5 bilion (RM8.81 bilion), menjadikannya antara transaksi terbesar dalam sejarah sukan Arab Saudi.

Jika dimuktamadkan, ia akan menjadi pengambilalihan penuh pertama oleh pihak swasta terhadap kelab bola sepak utama Saudi di bawah program penswastaan sukan negara itu, lapor morocconewsworld

Inisiatif tersebut, yang dilancarkan pada 2023, bertujuan menarik pelaburan swasta, memperbaiki pengurusan kelab, dan meningkatkan daya saing bola sepak Saudi di peringkat global.

Walaupun penjualan Al Hilal hampir selesai, kelab-kelab lain bergerak lebih perlahan. Al Ittihad, Al Nassr dan Al Ahli masih berada di bawah pemilikan PIF, dengan rundingan melibatkan beberapa pelabur dijangka mengambil masa berbulan-bulan.

Al Shabab dan Al Ettifaq pula lebih ketinggalan, dengan perbincangan dijangka tidak akan selesai sebelum akhir 2026.

Al Hilal yang berpangkalan di Riyadh merupakan kelab paling berjaya di Arab Saudi, dengan 19 kejuaraan liga dan empat trofi Liga Juara-Juara AFC.

Pengambilalihan ini akan memberikan Putera Alwaleed kawalan penuh ke atas sebuah pasukan yang telah menjadi simbol dominasi bola sepak Saudi, baik di peringkat domestik mahupun Asia.

Perjanjian ini mencerminkan usaha lebih luas Arab Saudi untuk menswastakan sektor sukan dan menarik perhatian global, khususnya selepas pelaburan besar negara itu dalam bola sepak melalui perpindahan pemain dan penajaan.

Bagi penyokong Al Hilal, langkah ini mungkin membawa kestabilan kewangan yang lebih kukuh dan projek yang lebih bercita-cita tinggi, namun harga tiket dan dasar kelab berkemungkinan berubah di bawah pemilikan swasta.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img