POLIS menahan enam lelaki kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong, Pulau Pinang semalam.
Video pergaduhan itu tular di media sosial yang turut memaparkan seorang lelaki dipukul menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian pukul 7.30 malam yang terjadi di hadapan sebuah restoran itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan.
Punca kejadian kata beliau dipercayai berkaitan pertikaian urusan jual beli kereta di antara dua kumpulan terlibat.
“Siasatan polis terhadap kejadian itu membawa kepada penangkapan enam lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun.
Empat suspek direman tiga hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.


