PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio dalam Kabinet Kerajaan MADANI yang turut menyaksikan dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan.
Walaupun beliau hanya mengumumkan menteri-menteri yang ditukarkan portfolio dan pelantikan baharu sahaja, namun berdasarkan senarai Kabinet sebelum ini, dua menteri yang digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Zaliha digantikan Hannah Yeoh yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, manakala jawatan dikosongkan Mohd Na’im diisi timbalannya, Senator Dr Zulkifli Hassan, manakala pendakwah, Marhamah Rosli mengisi tempat Zulkifli.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy digugurkan dan digantikan Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.
Sementara itu, lima lagi timbalan menteri dinaikkan pangkat ke menteri penuh iaitu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak. Beliau sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Ketua Wanita UMNO yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang ditukar portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilantik menerajui Kementerian Ekonomi, manakala Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang baharu, meninggalkan jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini.
Datuk Seri R Ramanan yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia menggantikan Steven Sim yang bertukar portfolio sebagai Menteri di KUSKOP.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi menggantikan Hannah Yeoh.


