POLIS Kelantan sedang menyiasat kes seorang pegawai polis bahagian narkotik di kontinjen itu yang didakwa mencabul isteri seorang tahanan di Pasir Mas pada minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pegawai polis berkenaan berusia lingkungan 30-an manakala wanita terbabit pula berusia lingkungan 20-an.
“Kes ini masih dalam siasatan dan pegawai terbabit telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Mohd Yusoff memberitahu, mangsa sebelum itu dikatakan berjumpa dengan pegawai tersebut berkaitan urusan suaminya yang ditahan akibat kes dadah.
Kata beliau, kejadian itu dipercayai berlaku dalam sebuah kereta sekitar jam 9 malam.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.


