TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagaikan berusaha ‘menenangkan suasan panas’ berikutan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai timbalannya apabila menegaskan tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik Hannah dan Lo menerajui portfolio itu.
“Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.
“Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun Hannah merupakan wakil DAP, prestasi beliau semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pelantikan Hannah, dan Lo yang mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga katanya, mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Ahmad Zahid turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri termasuk beliau sendiri, akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan bahawa agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.
Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Lo yang merupakan muka baharu dilantik sebagai timbalannya.
Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – bukanlah wilayah atau portfolio biasa, sebaliknya ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.’
‘’Justeru pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara,’’ katanya.
Beliau berkata, lebih membimbangkan ialah persepsi meluas bahawa pelantikan yang dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, tetapi susulan tekanan dan tawar-menawar politik.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula berkata, rakyat berhak bertanya, adakah rombakan Kabinet ini akibat tekanan politik atau habuan kuasa?
‘’Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah, kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan,’’ katanya
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki pula mengingatkan Perdana Menteri agar tidak memandang enteng sentimen rakyat yang timbul susulan pelantikan tertentu dalam kabinet baharu, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, katanya, antara persoalan yang dibangkitkan netizen, katanya, ialah pelantikan Hannah Yeoh dan Lo Su Fui sebagai menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan yang berbangsa Cina.


