PELAKON Kamal Adli hari ini menafikan dakwaan yang dibuat Uqasha Senrose bahawa beliau bertindak memukul isterinya sepanjang perkahwinan mereka.
Malah, Kamal juga sanggup bersumpah dan menjunjung al-Quran bagi membuktikan dakwaan itu adalah fitnah.
“Dakwaan itu tidak benar. Demi Allah, saya berani junjung al-Quran dan bersumpah atas nama ibu bapa saya bahawa saya tidak pernah memukul isteri saya. Saya tak pernah angkat tangan, tumbuk atau tarik rambut,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, hari ini tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun berkahwin dengan Kamal.
Dakwa Uqasha, beliau selama ini memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib dan maruah suaminya, namun tekanan yang ditanggung memaksanya bersuara.
Menjawab pertanyaan itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, dia sudah menjangkakan dakwaan sedemikian akan timbul dan mempersoalkan mengapa isu berkenaan hanya dibangkitkan sekarang.
“Kalau benar saya memukul, kemukakan laporan perubatan. Kecederaan boleh berlaku dengan pelbagai cara. Saya berani bercakap kerana saya tahu saya tidak bersalah,” tegasnya.
Kamal turut mempersoalkan dakwaan berhubung gambar kecederaan yang didedahkan, sambil menyatakan perkara itu adalah isu lama yang diulang.
“Gambar itu kejadian lama. Saya persoalkan, lebam itu akibat dipukul atau bagaimana? Tapi tidak mengapa, bagi saya semua ini adalah fitnah,” katanya.
Menurut Kamal, dia memilih untuk tidak membuka aib isterinya walaupun pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap dirinya.
“Sejak awal, satu demi satu perkara dibuka mengenai saya. Namun, saya tidak mahu memburukkan dia kerana saya masih menghormatinya sebagai isteri,” katanya.
Kamal berkata, keutamaan utamanya adalah menjaga maruah keluarga serta memastikan anak tunggal mereka, Hawra Uqaira, tidak terkesan dengan konflik rumah tangga ibu bapanya.
Ditanya mengapa masih enggan melepaskan isterinya walaupun hubungan mereka dikatakan sudah tiada persefahaman, Kamal berkata dia mahu mempertahankan rumah tangga demi anak.
“Saya tak mahu Hawra membesar dalam keluarga yang tidak lengkap. Sebab itu saya tidak melafazkan talak. Namun, jika Allah menentukan sebaliknya, saya reda,” katanya.


