SEORANG wanita warga emas maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 32, Jalan Renggam – Simpang Renggam di Kluang, Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas itu yang melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa dan sebuah lori jenis Isuzu pada jam 8.10 pagi.
Menurut beliau, siasatan mendapati kereta Myvi yang dipandu oleh wanita terbabit dalam perjalanan dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam manakala lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun pula datang dari arah Simpang Renggam ke Renggam.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta Myvi itu dipercayai hilang kawalan sehingga memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan lori berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, wanita warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada dan kaki kanan manakala pemandu lori mengalami kecederaan pada kaki kanan,” katanya hari ini.
Menurut Bahrin, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Khairol Nizam bagi membantu siasatan,” katanya.


