Kenalan, keluarga wanita dilaporkan hilang `berkampung’ di Hospital Rembau, belum ada pengesahan itu mayat Suri

AHLI keluarga dan rakan kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu, Suri Narudin hari ini menunggu di Unit Forensik Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

Mereka ingin mengetahui hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam beg dan ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas semalam.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Jue, 53, berkata, Suri merupakan rakan sekampungnya di Kuching, Sarawak dan mereka bersama-sama datang ke Semenanjung untuk bekerja.

“Tetapi Suri yang datang dahulu ke Semenanjung, kemudian barulah saya sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

“Kami sekampung dan rapat sejak zaman muda. Dia sangat disayangi rakan-rakan kerana suka membantu serta pemurah.

“Jika betul itu (mayat) Suri, saya kehilangan seorang kawan yang pemurah dan suka membantu,” katanya kepada pemberita, lapor Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita bernama Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember. Polis menerima laporan kehilangan wanita itu di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu.

Bagaimanapun, Jue enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut kerana proses pengecaman belum dibuat bagi mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah rakannya yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Dalam pada itu dia memaklumkan, laporan polis kehilangan Suri dibuat oleh anak saudara mangsa yang berusia 30 tahun dan bukannya ibu saudara seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Sementara itu, pemberita difahamkan proses bedah siasat terhadap mayat yang ditemui terbabit telah selesai.

Namun, sehingga jam 4 petang ini, belum ada proses pengecaman mayat dibuat oleh mana-mana ahli keluarga.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Izham Jaafar berkata, lelaki yang ditahan disyaki merupakan rakan kepada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan mayat wanita itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, suspek berkenaan berkemungkinan mengenali mangsa dan setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.

“Lelaki ini juga memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah dan polis percaya terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img