Rayuan pembebasan Syed Saddiq tidak bermerit, wajar ditolak – peguam

PASUKAN pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhujah dengan menegaskan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar itu tidak bermerit dan wajar ditolak.

Rayuan itu membabitkan permohonan pendakwaan selaku perayu terhadap pembebasan Syed Saddiq, 33, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kes penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.

Melalui surat  firma guaman Mustafa Ling & Co kepada Timbalan Pendaftar semalam, pihak pembelaan memohon panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan anak jati Johor Bahru tersebut.

Mereka merujuk kepada nasihat Presiden Mahkamah Rayuan selaku ketua panel tiga hakim pada 12 Disember lalu, yang meminta pihak pendakwaan selaku perayu dan pihak pembelaan sebagai responden menilai semula kedudukan masing-masing mengenai prosiding terbabit,  lapor Sinar Harian.

Katanya, pihak responden mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan menghargai kebijaksanaan hakim dalam memberikan cadangan tersebut.

Menurut surat itu, pihak responden telah mendalami nasihat dan pandangan yang diutarakan oleh ketua panel hakim.

Susulan itu, responden berkata, mereka telah berhubung dan berbincang dengan pihak perayu serta menasihati anak guam mengenai pandangan dan nasihat tersebut.

“Kami menyatakan bahawa rayuan perayu bagi kes itu tidak bermerit, seperti yang telah dihujahkan ketika pendengaran rayuan lalu. Responden menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan hakim panel rayuan untuk membuat keputusan yang bijaksana serta adil bagi semua pihak,” katanya.

Pada 12 Disember, tindakan panel tiga hakim yang tidak memberikan keputusan atau menetapkan tarikh baharu selepas mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Ketua Armada Bersatu itu mencetuskan perhatian luar biasa masyarakat umum.

Lebih mengejutkan, mahkamah bukan sekadar menangguhkan keputusan, malah memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk ‘bertenang’.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abu Bakar Jais turut meminta pihak pendakwaan dan pembelaan meneliti semula hujahan yang telah difailkan.

Beliau yang bersidang bersama dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, berkata pihak-pihak perlu bertenang sebelum memutuskan sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

Selepas hampir seminggu diberi masa untuk bertenang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa rayuan terhadap keputusan yang membebaskan Syed Saddiq akan diteruskan seperti dirancang.

Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar, pihak pendakwaan telah mendapatkan pandangan dan arahan Peguam Negara berhubung arahan Presiden Mahkamah Rayuan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan pada Jumaat minggu lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengarahkan agar rayuan ini diteruskan dan apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img