PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas dalam menangani kes salah laku pemain dan pegawai pasukan dalam Liga Sepak Takraw: Piala Juara-juara (STL-CC) 2025 di Arena Karisma, Seremban mulai hingga 7 September ini.
Langkah ASTAF tersebut menjadikan liga itu pertandingan pertama menguatkuasakannya.
SOP berkanan mampu mencegah tindakan keterlaluan pemain dan pegawai pasukan bertanding seperti mencerobohi gelanggang,membaling botol air, memaki pengadil perlawanan dan menendang papan iklan seperti mana berlaku dalam beberapa siri Grand Prix STL 2025 khususnya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, baru-baru ini.
Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader berkata, analisisnya mendapati kes-kes salah laku itu dianggap mencemari sukan sepak takraw dan wajar ditangani dengan serius dan segera memandangkan STL-CC 2025 bakal turut disertai Ratchaburi Thailand, Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.
Lima pasukan terbaik tempatan STL Divisyen Perdana yang turut merebut gelaran STL-CC 2025 di Arena Karisma yang baharu dan canggih i ialah pemenangnya, Perak Bison diikuti oleh Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers dan Johor Tigris.
“SOP itu akan menguatkuasakan pengenalan kad merah atau kuning terhadap pemain dan pegawai secara automatik ekoran salah laku mereka.
‘’Mereka wajib disusuli dengan digantung daripada beberapa perlawanan tertentu dalam kejohanan terbabit sehingga laporan aduan rasmi pengadil diterima wakil teknikal atau pengarah kejohanan dan dibicarakan serta dikenakan tindakan tertentu oleh sebuah jawatankuasa tatatertib penganjur,” kata beliau.
SOP tersebut tegasnya, akan melengkapkan dan memperjelas Fasal 16.4.1 dan16.4.2 serta 17.2 Undang-undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Beliau yang juga Setiausaha Agung ISTAF berkata, “sudah tiba masanya SOP dikuasakan manakala tugas dan tanggungjawab pengadil perlawanan dikemaskinikan,” katanya.
ASTAF katanya yang sentiasa memantau rapi perjalanan STL 2025 anjuran kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan sebuah stesen TV termasuk di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Ipoh dan Seremban (28 Mei hingga 31 Ogos lalu), juga mendapati para pengadil perlawanan kerap menjadi sasaran kecaman dan kontroversi.
Halim hairan bagaimana seorang jurulatih yang dikenakan kad merah masih dibenarkan berada dengan pasukannya bagi perlawanan berikutnya tanpa sebarang tindakan tatatertib terutama sekali oleh PSM.
“Mungkin ada kesilapan pengadilan ketika itu yang mengakibatkan pemain dan pegawai menjadi agresif semasa membuat bantahan.
“Saya tidak salahkan mereka (pengadil) kerana bukan senang untuk mengawal situasi di gelanggang apatah lagi dengan ribuan penonton yang menunjukkan macam-macam reaksi,” katanya.


