PEREKA grafik kontroversi, Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan selama lapan jam sejak pagi ini berhubung satu hantaran di Facebook mengenai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dalam satu hantaran Facebook pada jam 7 malam, Fahmi memaklumkan polis telah membebaskannya selepas disoal sejak ditahan pada jam 10.20 pagi tadi, susulan 284 laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Tak kira berapa banyak kali aku kena lapor polis, kena siasat dan kena tangkap, aku akan sentiasa pertahankan hak dan kebebasan aku untuk bersuara.
“Rakyat tak perlu takut pada kerajaan dan orang kayangan, kerajaan dan orang kayangan yang harus takut pada rakyat,” katanya dalam hantaran itu.
Laporan polis terhadap beliau dibuat oleh lebih daripada 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Exco kerajaan negeri Johor iaitu Aznan Tamin dan Khairin-Nisa Ismail serta kumpulan masyarakat sivil, persatuan belia, dan pemimpin masyarakat.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengesahkan petang tadi bahawa Fahmi sedang disiasat bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung hantaran Facebook beliau bertarikh 15 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis telah merekodkan keterangan Fahmi manakala telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berunsur fitnah dan menghina TMJ telah dirampas.
Menurut Kumar, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman berkaitan kenyataan berhubung kes tersebut.
“Selepas tindakan (rakaman keterangan) polis selesai, Fahmi telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis telah menerima sebanyak 284 laporan berkaitan isu sama di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.


