Lelaki maut kereta terjunam dalam Sungai Perak

SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perak di Kampung Baru Layang-Layang Kanan di Parit, Perak malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, seorang saksi dikatakan ternampak sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.27 malam.

Beliau berkata, saksi yang menyaksikan kejadian itu kemudian segera menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.

“Kenderaan itu berjaya dikesan sebelum mangsa yang terperangkap di dalamnya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hafizul Helmi, pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di talian 05-371 2222 atau Balai Polis Parit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit segera ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat yang disambung pada hari ini bersama pihak polis dengan menggunakan bot bomba dan bot polis turut dibantu penduduk kampung.

“Pencarian dilakukan sejauh kira-kira 100 meter dari jeti, iaitu lokasi kereta mangsa dipercayai terjatuh, menuju ke hilir sungai,” katanya.

Shazlean berkata, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan kereta tersebut pada jarak kira-kira 20 meter dari jeti sebelum bantuan kren dipanggil bagi mengeluarkan kenderaan itu.

Katanya, mayat mangsa berusia 34 tahun ditemukan masih berada di dalam kereta pada jam 2.10 petang tadi.

Beliau berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tersebut melibatkan seramai 11 anggota JBPM termasuk dari BBP Parit dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kira-kira 15 penduduk kampung.

Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img