MCA dan MIC mempunyai peluang lebih baik jika bersama Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mereka membina kembali imej dan reputasi serta kepercayaan rakyat, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Haim Hilman Abdullah
Katanya, Pas dan Bersatu sudah jelas akan kerusi masing-masing dan lawan mereka di PRU-16 nanti adalah UMNO dan PKR.
‘’ Jadi jika MCA bersama PN, MCA berpeluang untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh DAP. Jika disusun dengan baik contohnya kerjasama strategik di antara MCA & Gerakan, satu kekuatan baru di blok masyarakat Cina akan dapat dibentuk oleh PN.
Begitu juga dengan MIC di mana jika MIC bersama PN, MIC boleh berkerjasama dengan DHPP dan bertanding menentang PKR dan DAP di semua kawasan yang biasa ditandingi ketika bersama BN dahulu. Usaha ini juga akan memperkukuh sokongan masyarakat India kepada PN, ‘’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.

Haim Hilman yang juga Exco Kerajaan Kedah berkata, menariknya MIC telah membuat permohonan untuk menyertai semula PN dan diyakini permohonan itu akan disambut baik oleh kepimpinan tertinggi PN.
‘’Namun dalam konteks MCA pula, parti ini masih ragu-ragu dan ia banyak berkait dengan persepsi mereka terhadap Pas.
‘’Sebenarnya tiada apa perlu dibimbangi oleh MCA untuk bersama PN. Sejarah telah menunjukkan dengan jelas bahawa Pas adalah parti yang konsisten dalam pejuangannya. Pada asasnya Pas komited membina Malaysia yang adil, progresif dan maju selari dengan nilai-nilai Islam dan sejagat,’’ katanya.
Beliau menegaskan, jika MCA bimbang tentang Islam yang menjadi asas perlembangaan Pas, itu bermakna kepimpinan MCA masih terperangkap dengan kefahaman sempit dan keras yang sering digambarkan oleh UMNO terhadap Pas sejak puluhan tahun dahulu.
‘’Paling hampir MCA pada Pas adalah ketika bersama dalam kerajaan Muafakat Nasional selama 33 bulan dahulu.
‘’Adakah Pas mengusulkan apa-apa dasar yang bersifat menzalimi orang Cina khususnya atau bukan Islam di Malaysia amnya. Jawapannya tidak. Malahan kepimpinan Pas @ PN amat berhati-hati dan menjaga hati semua pihak dalam setiap keputusan yang di buat. Pendekatan ini bertunjangkan kepada ajaran Islam yang selari dengan nilai sejagat.
Beliau berkata, MCA tidak perlu bimbang sama sekali dengan lautan kopiah putih kerana dalam Pas hari ini juga ada lautan profesional.
‘’Malahan ramai dalam kalangan kepimpinan Pas hari ini terdiri daripada para professional dalam pelbagai bidang yang berkelulusan baik dari dalam dan luar negara,’’ katanya.
Beliau berkata, gabungan golongan agamawan dan profesional dalam Pas memberi gambaran betapa dinamik dan progresifnya Pas dan orang Melayu hari ini.
‘’Malaysia pasti akan lebih baik lagi apabila dua lagi bangsa terasnya iaitu Cina & India bersama membina Malaysia baharu.
‘’Resepi terbaik untuk membina masa depan Malaysia masih lagi menerusi kerjasama erat antara parti-parti utama yang berasaskan bangsa. Pas + Bersatu menjaga kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam. MCA menjaga kepentingan bangsa Cina dan agama Buddis, manakala MIC menjaga kepentingan bangsa India dan agama Hindu,’’ katanya.
Haim Hilman berkata, utulah kaedah terbaik untuk setiap kepentingan bangsa dan agama dijaga dan diangkat oleh parti masing-masing ke kepimpinan tertinggi PN untuk diperhalusi dan diadun sebaiknya bagi menjadi resepi terbaik untuk membawa negara majmuk bernama Malaysia ke hadapan dengan penuh keharmonian.
‘’Hari ini PN yang menawarkan platform terbaik untuk tujuan tersebut. Di samping itu, jika PN diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara dalam PRU-16 nanti, Pas khususnya komited dalam memastikan ahli Parlimen yang benar-benar berpengetahuan dipilih untuk mengisi satu-satu jawatan penting seperti menteri dan jawatan-jawatan strategik yang lain,’’ katanya.
Beliau berkata, Pasyakin MCA dan MIC serta lain-lain parti gabungan dalam PN mampu membangunkan ekonomi negara dan rakyat dengan lebih baik, menawarkan tadbir urus lebih cekap dan telus di setiap peringkat pentadbiran, membentuk sistem pendidikan lebih bersepadu iaitu mampu menjadi medium perpaduan kaum terbaik di negara ini.
.


