Air mata Rosmah tumpah,Nooryana minta ‘daddy bersabar’, Najib buat rayuan

PADA pukul 9.35 pagi, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan rayuan suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Ketika tiba di tingkat 5 bangunan mahkamah itu, Rosmah sempat bertegur sapa dengan wartawan sambil bertanya mereka adakah Najib boleh keluar  hari ini (jalani hukuman di rumah).

‘’Yakin…(Najib) keluar? Boleh keluar tak nak ni? Siapa angguk saya sayang.Datuk keluar hari ini? Insha-Allahkan,’’ katanya sambil berjalan menuju ke bilik bicara.

 Bagaimanapun harapan Rosmah sekeluarga tidak kesampaian apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Portal Malaysiakini melaporkan, keluarga Najib kelihatan sugul susulan keputusan mahkamah itu.

Rosmah mengalirkan air mata sambil menggengam erat tangan suaminya dan dilihat berbincang dengan peguam.

Anak pasangan itu, Nooryana Najwa turut meluahkan rasa dukacita terhadap keputusan berkenaan.

“Maaf banyak daddy. Tak dapat bayangkan perasaan daddy ketika ini. Tolong bersabar, ok. Kita teruskan perjuangan pada hari lain seperti biasa. Jaga kesihatan daddy, itu yang paling penting,” katanya menerusi hantaran di Instagram Stories.

Sementara itu,Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka akan membuat  rayuan.

“Kita akan buat rayuan,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, Shafee berkata Najib dan pasukan pembelaaan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu terutama berkait beberapa isu penting.

“Kami berpandangan hakim tidak menganalisanya dengan betul,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img