Lelaki didakwa bunuh nenek, tetak moyang

SEORANG pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan membunuh neneknya dan mencederakan moyangnya di sebuah rumah di Baling, Kedah minggu lalu.

Muhammad Farhan Zulkefli, 21, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Halimah Hashim, 65, antara jam 6.40 petang hingga 6.53 petang di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Baling pada 16 Disember lalu.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menetak Mariyam Ariffin, 80, menggunakan sebilah parang di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara sehingga 20 tahun boleh dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor memaklumkan bahawa tertuduh kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan memohon perintah mahkamah mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan bagi mendapatkan laporan psikiatri tertuduh di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 6 Januari tahun hadapan.

Sementara itu, di luar mahkamah tertuduh dilihat tenang dan tersenyum ketika diiringi polis semasa dibawa masuk ke mahkamah hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas maut ditikam cucunya, manakala ibu mangsa cedera ditetak dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, Balai Polis Malau menerima makluman daripada orang awam berhubung kejadian tikam dan tetak membabitkan dua individu di lokasi kejadian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img