SEBUAH lori tangki terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan sehingga melintang di lebuh raya mengakibatkan kesesakan sejauh kira-kira 10 kilometer di Kilometer 281.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Ipoh menghala ke Simpang Pulai, Perak hari ini.
PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan, lori tangki tersebut melintang di tengah lebuh raya menyebabkan beberapa lorong terhalang.
Menurut kemas kini trafik setakat jam 1 petang, kesesakan trafik direkodkan sejauh kira-kira 10 kilometer bagi arah utara, manakala kesesakan sepanjang 5 kilometer dilaporkan bagi arah selatan.
PLUS dalam status terkini pada jam 3.25 petang memaklumkan laluan kanan kedua-dua arah masih ditutup dan trafik masih bergerak perlahan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan pengawal trafik dan papan tanda amaran yang disediakan di lokasi kejadian, selain digalakkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan teruk.
“Orang ramai boleh keluar menggunakan Tol Gopeng atau Tol Tapah sebagai laluan alternatif,” kata kenyataan PLUS itu.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung kecederaan atau mangsa yang terlibat dalam kemalangan berkenaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.
PLUS turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan.


