PEMIMPIN-pemimpin UMNO kanan hari ini berang dengan tindakan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin membuat kenyataan sinis berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan Be Yin melalui media sosial yang meraikan keputusan itu amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian
Katanya, jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
‘’Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.
‘’Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,’’ katanya melalu Facebook.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir pula menyifatkan tindakan Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong tidak wajar kerana kerana keputusan mahkamah berkenaan melibatkan penderitaan dan kesan besar terhadap individu serta keluarga terlibat.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya.
Hari ini Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Dalam penghakimannya, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.


