Warga emas melecur cuba selamatkan barang ketika rumah terbakar

SEORANG lelaki warga emas melecur ketika cuba menyelamatkan barangan miliknya dalam kebakaran dua buah rumah di Kampung Pengkalan Rama Pantai di Melaka petang ini.

Difahamkan mangsa yang berusia 64 tahun itu mengalami kecederaan ketika cuba membawa keluar barang dari bilik sewa di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Kanan Bomba II Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.28 petang menerusi talian MERS 999.

Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke tempat kejadian pada jam 1.30 petang dan tiba empat minit kemudian.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi setiap satu, dengan peratusan kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang melecur 50 peratus segera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Tambah beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan enam pancutan melibatkan dua aliran dari sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Seramai 15 anggota terlibat dalam operasi melibatkan jentera FRT, EMRS dan Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

“Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.50 petang dan kerja pemadaman masih diteruskan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img