Fadillah memacu agenda peralihan tenaga dan transformasi air negara

Oleh Dr. Ir. Muhidin Arifin

SEJAK dilantik sebagai Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada Disember 2023 bagi menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memainkan peranan penting dalam mengemudi negara menangani isu keselamatan tenaga dan kestabilan sumber air.

Dalam tempoh ini, pelbagai langkah pembaharuan telah digerakkan bagi menyesuaikan keperluan pembangunan semasa dengan perancangan jangka panjang negara.

Dalam konteks landskap global yang semakin menekankan kemampanan dan daya tahan sumber, pendekatan ini meletakkan sektor tenaga dan air sebagai antara komponen strategik pembangunan negara.

Antara inisiatif utama di bawah kepimpinan Fadillah ialah pelancaran Peta Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang berfungsi sebagai kerangka strategik ke arah sasaran neutral karbon seawal tahun 2050.  Melalui NETR, Malaysia menetapkan matlamat untuk meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (RE) kepada 70 peratus menjelang 2050.

Sasaran ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, malah membuka ruang kepada pengukuhan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan ekonomi hijau global yang kian berkembang.

Bagi menyokong pelaksanaan NETR, beberapa program strategik diteruskan dan diperkukuh, termasuk Program Skala Besar Suria (LSS 6) serta penambahan kuota sebanyak 300 megawatt bagi RE berpusat melalui Skim Tarif Galakan (FiT) untuk biogas, biomas dan hidro kecil.

Dasar Air Negara yang lebih strategik dan bersepadu ditekankan bagi memastikan keselamatan air jangka panjang.

Pada masa yang sama, pengenalan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Mekanisme Agregasi Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) memperluaskan penyertaan sektor komersial dan komuniti dalam peralihan tenaga.

Inisiatif seperti Net Energy Metering 3.0 (NEM3.0) pula terus menggalakkan pelaburan solar atas bumbung, mencerminkan pendekatan yang lebih inklusif dalam usaha memperluas penggunaan tenaga bersih.

Dalam aspek pasaran elektrik domestik, PETRA turut melaksanakan pembaharuan struktur melalui pengenalan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).

Melalui AFA, pelarasan kos bahan api dibuat secara bulanan, menjadikan struktur tarif lebih telus dan responsif terhadap perubahan kos bahan api global, sekali gus mengurangkan kejutan harga yang ketara kepada pengguna.

Selain itu, pilihan tarif Time-of-Use (ToU) untuk pengguna domestik yang mempunyai meter pintar turut diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap, berpotensi memberikan penjimatan kos serta menyokong kecekapan sistem grid secara keseluruhan.

Di samping sektor tenaga, transformasi sektor air turut menjadi fokus utama PETRA. Keperluan kepada Dasar Air Negara yang lebih strategik dan bersepadu ditekankan bagi memastikan keselamatan air jangka panjang, selari dengan cabaran perubahan iklim dan pertumbuhan permintaan.

Secara keseluruhan, langkah-langkah yang dilaksanakan melalui NETR, pembaharuan tarif elektrik dan pelaksanaan AIR2040 menggambarkan hala tuju dasar yang bersifat jangka panjang serta berasaskan keperluan sistemik.

*Penulis adalah ahli akademik dan penerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia Education & TVET Awards 2024.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img