POLIS mengesahkan penemuan beberapa objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) dalam kejadian letupan yang berlaku di kawasan perumahan Desa Palma Nilai, di Seremban hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menerusi panggilan MERS 999 kira-kira jam 7.08 pagi berhubung kewujudan objek yang meletup serta paku yang bertaburan di kawasan berkenaan.
“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan hasil maklumat saksi awam mendapati letupan dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah-rumah berhampiran telah membawa kepada penemuan tiga objek disyaki IED di dalam salah sebuah rumah di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Alzafny, kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian, polis turut menemukan kenderaan yang disyaki menjadi punca letupan terbabit.
Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan turut menemukan beberapa peralatan dan bahan yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan,” katanya.


