EMPAT buah kenderaan musnah dalam satu kebakaran di kawasan tempat letak kereta sebuah medan selera di Jalan Song Ban Kheng di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Kebakaran kira-kira jam 2.15 petang itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 yang masing-masing mengalami kemusnahan dianggarkan sebanyak 95 peratus.
Dua buah kenderaan lagi jenis Toyota Camry sedan turut terjejas dalam kejadian berkenaan dengan anggaran kemusnahan sebanyak 30 peratus dan 15 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.38 petang dan mendapati kebakaran melibatkan empat buah kenderaan di kawasan parkir premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, komander operasi membuat penilaian awal dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum melaksanakan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.46 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang sebelum operasi ditamatkan selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
John Sagun berkata, operasi pemadaman melibatkan enam anggota termasuk penyelia dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bandar Perda.
“Turut membantu operasi adalah PBS Padang Lalang, PBS Cross Street dan PBS Berapit selain kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.


