POLIS menahan dua lelaki warga Singapura selepas terlibat dalam pergaduhan di dalam kawasan Balai Polis Larkin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), di Johor Bahru semalam.
Kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika kedua-dua suspek berusia 46 dan 56 tahun berada di kaunter aduan, selepas dibawa oleh polis ke balai berkenaan akibat terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru sebelum itu.
Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semasa seorang daripada suspek membuat laporan polis, seorang lagi suspek datang ke kaunter aduan dan menyerangnya secara tiba-tiba sehingga berlaku pergelutan.
“Bagaimanapun, pergelutan tersebut berjaya dileraikan anggota polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah sebelum ditahan.
Katanya, pergaduhan pertama antara kedua-dua suspek berlaku kira-kira jam 5.20 petang di aras satu pusat beli-belah tersebut, yang didakwa berpunca daripada ketidakpuasan hati apabila ditegur oleh isteri seorang daripada suspek.
“Wanita tersebut didakwa terkena air minuman keras yang tertumpah selepas salah seorang suspek hampir melanggarnya.
“Pertikaian tersebut telah mencetuskan pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan pihak polis yang sedang menjalankan tugas rondaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang negatif daripada pengaruh dadah, direman dua hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran yang betul.


