Hadi, Tuan ibrahim kekal jawatan Presiden, Timbalan Presiden Pas

*Gandingan dua tuan guru terus kukuhkan Pas 

KEPEMIMPINAN ulama terus menjadi tonggak perjuangan Pas apabila Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Pas bagi sesi 2025/2027.

Kedua-dua mereka disahkan menang tanpa bertanding oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat 2025, Wan Rohimi Wan Daud dan sekaligus mengesahkan gandingan mereka memasuki tahun ke-10.

Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang menjadi Presiden Pas secara rasmi pada 2003 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang meninggalkan dunia pada 23 Jun 2002.

Sepanjang memegang jawatan itu beliau pernah dicabar sekali sahaja iaitu pada tahun 2015 oleh Ustaz Ahmad Awang. Bagaimanapun Abdul Hadi mempertahankan kedudukannya selepas menang dengan majoriti 695 undi.

Sebelum Tuan Ibrahim menjadi Timbalan Presiden Pas pada 2015, Abdul Hadi bergandingan dengan Hassan Shukri (2003-2005),Datuk Nasharudin Mat Isa (2005-2011) dan Datuk Mohamad Sabu (2011-2015).

Kejayaan menewaskan Mohamad Sabu pada pemilihan 2015 di Muktamar Tahunan Ke-16 di Kuala Selangor bagi jawatan Timbalan Presiden membolehkan Tuan Ibrahim menduduki jawatan tersebut sehingga ke hari ini.

Beliau mendapat 881 undi manakala Mohamad Sabu yang kini Presiden parti Amanah memperoleh 279 undi.

Kepimpinan Pas di bawah  Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim dianggap gandingan dua ulama yang akan terus memperkukuhkan sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada parti itu.

Ia terbuktikan apabila dii bawah gandingan mereka, Pas kini bukan sahaja menguasai Kelantan dan Terengganu tetapi juga Perlis dan Kedah serta menjadi parti Melayu yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 40 kerusi manakala di Perak dan Pahang Pas menjadi pembangkang terkuat.

Bagi kerusi Naib Presiden pula, keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik diri daripada bertanding membuka laluan kepada tiga penyandang untuk mengekalkan jawatan tersebut.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walaupun Muhammad Sanusi dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang memandangkan populariti dan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kedah, Pengarah Pilihan Raya Pas serta muktamar Pas kali ini diadakan negeri Jelapang Padi itu namun ADUN Jeneri itu mempunyai pendirian sendiri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudeen menang bagi jawatan Ketua Pemuda manakala Nuridah Salleh kekal sebagai Ketua Muslimat. Pada masa sama Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Awang terus diberi kepercayaan mengetuai Dewan Ulamak Pas.

Bagi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, 38 calon layak bertanding manakala 8 calon menarik.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img