POLIS berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa didalangi warga Asia Timur apabila merampas pelbagai jenis dadah seberat 6.2 tan yang dianggarkan bernilai RM1.04 bilion dalam serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilakukan oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan enam individu termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lepas.
Kata beliau, dalam serbuan pertama pada 21 Disember di Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan, pihaknya merampas 5,983.36 kilogram (kg) cecair dan 207.74 kg serbuk putih kedua-duanya disyaki methylenedioxy methamphetamine (MDMA).

Pada hari yang sama, kata Hussein, polis menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas 20.273 kg serbuk disyaki kokain serta 1.252 kg serbuk putih disyaki ketamin.
“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Semenyih, Kajang hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk ahli kimia dan bahan prekursor dari luar negara serta menggunakan koordinator dan ahli sindiket warga tempatan bagi memproses dadah. Beliau turut menyifatkan ia sebagai sindiket terbesar yang pernah ditumpaskan.
Menurutnya, sindiket itu mengendalikan 14 kilang dan 10 rumah kediaman yang diubahsuai menjadi makmal pemprosesan dan stor penyimpanan dadah, dengan setiap premis disewa pada harga antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
Tambah beliau, sindiket dipercayai menggunakan Malaysia sebagai pusat memproses dadah sebelum mengedarkannya ke beberapa destinasi luar negara termasuk Hong Kong dan Australia serta mempunyai lebih 12 ahli termasuk dalang dan beroperasi sejak Januari lepas.
“Berdasarkan peralatan yang dirampas, jelas operasi ini dijalankan pada skala yang sangat besar dan kita akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menahan baki ahli sindiket termasuk dalang utama,” katanya.
Selain itu, Hussein berkata, siasatan turut mendapati sindiket terbabit turut menjalankan aktiviti penipuan dalam talian selepas satu daripada premis yang diserbu dijadikan pusat panggilan penipuan di Kajang pada 21 Disember lepas.
Katanya, seramai 14 orang suspek ditahan dan kes terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.


