KETUA Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan Pendakwaan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya, dengan pengumuman keputusan penghakiman kes itu hari ini.
Dalam kenyataan, Azam berkata, penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
‘’Siasatan ini berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah,’’ katanya.
Belia turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
‘’ Begitu juga, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance),’’ katanya.
Beliau berkata, antara agensi yang telah memberikan bantuan amat bernilai dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.
‘’ Profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,’’ katanya.
Beliau berkata, bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), keputusan ini bukanlah satu detik untuk diraikan atau patut dibanggakan, sebaliknya, ia mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat dan kepercayaan yang telah diberikan.
‘’Peranan kami kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,’’ katanya.


