BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan akan terus menuntut haknya melalui saluran yang sah.
Kenyataan bekas Menteri Kewangan itu dibacakan oleh peguamnya Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah pada sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.
Berikut kenyataan penuh Najib yang dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB:
Saudara dan Saudari yang hormati,
Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian.Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya – bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.
Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.
Sehubungan itu saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. Perbezan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama.
Sekian.


