Suspek kes letupan di Desa Palma Nilai berjaya diberkas

SEHARI selepas polis memaklumkan pemburuan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes letupan di Desa Palma Nilai, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu, lelaki berusia 62 tahun itu akhirnya berjaya diberkas polis petang ini.

Suspek ditahan di sekitar Mantin dan penahanannya itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.

“Ya, suspek sudah ditahan dan dihantar ke hospital kerana cedera, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkaitan penahanan terbabit,” katanya.

Dalam kenyataan terbaharu Polis Negeri Sembilan malam ini, Alzafny mengesahkan polis telah menemukan beberapa objek disyaki bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) bersama lelaki yang ditahan di jalan sekitar Batang Benar, Nilai petang tadi.

Menurut beliau, dalam tangkapan jam 4.15 petang itu, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek berusia 62 tahun itu.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh badannya mendapati terdapat kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki.

“Ketika ditahan, dia berada dalam lemah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk diberikan rawatan,” kata kenyataan itu.

Alzafny semalam dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan memaklumkan suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam penghasilan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewanya.

Polis turut menemukan 31 lagi bahan IED di rumahnya dan kesemua bahan letupan itu telah dimusnahkan.

Dalam kejadian pada 22 Disember lalu, polis menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img