LIMA lelaki dan tujuh wanita ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan serta rusuhan di Pasar Awam Melor di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia awal 20-an hingga lewat 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid hari ini, lapor Bernama.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam,” katanya.
Polis semalam menahan kesemua suspek bagi membantu siasatan selepas pergaduhan tersebut tular dalam media sosial.
Dalam video tular tersebut, beberapa lelaki dan wanita dilihat bergaduh di hadapan di Pasar Awam Melor di Kota Bharu sebelum dileraikan orang ramai.


