Hutang punca pergaduhan di restoran: Polis tahan 13 warga Vietnam terlibat rusuhan bersenjata

SEBANYAK 12 lelaki dan seorang wanita warga Vietnam ditahan susulan insiden rusuhan bersenjata yang berlaku di sebuah restoran di Taman Mount Austin, di Johor Bahru pada awal pagi semalam.

Video pergaduhan itu yang kini tular dalam media sosial dipercayai berlaku pada jam 3.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki menyerang mangsa serta rakannya menggunakan kerusi besi dan pisau pemotong daging, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala, lengan, betis serta calar di seluruh badan.

“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua individu berkaitan hutang peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, susulan laporan diterima mengenai kejadian itu, polis menjalankan operasi dan menahan kesemua suspek dalam tempoh antara jam 3 pagi hingga 12.40 tengah malam tadi di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun, dan polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, sebilah pisau serta pakaian yang digunakan dalam pergaduhan itu bagi tujuan siasatan.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati tujuh suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati enam daripadanya positif dadah jenis ketamin,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi suspek yang positif dadah.

“Suspek lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Januari 2026, manakala suspek wanita ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa untuk membantu siasatan lanjut.

“Polis masih giat mengesan individu lain yang terlibat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sentiasa mematuhi undang-undang.

Jelas Raub, sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img